Wednesday, 30 July 2014

Snapshot #5

Assalamualaikum w.b.t..

Biasanya aku lebih suka ambil gambar langit dan permandangan, tapi kali snapshoot kali ni aku cuba ambil gambar tanam-tanaman pulak. Objek kali ini adalah pokok bunga, jantung pisang, pokok cili dan tebu. 



















Saturday, 26 July 2014

Cahaya Aidilfitri

Assalamualaikum w.b.t..


InsyaAllah dijangka lusa (28 Julai 2014) kita bakal menyambut 1 syawal. Pastinya ramai yang sudah mahupun sedang membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma. Semoga Syawal kali ini membawa kebahagiaan kepada kita semua dan sentiasa dalam keberkatanNya. Dalam kita bergembira menyambut Syawal ini juga jangan kita lupa berdoa untuk kesejahteraan saudara seislam kita di Palestine, Syiria mahupun seluruh dunia. Semoga mereka terus tabah menjalani liku-liku hidup yang mencabar dengan ujian yang diberikan kepada mereka. v.v



Salam Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin


Friday, 25 July 2014

Buah Perah

Assalamualaikum w.b.t..


Tahukah anda apa itu buah perah? Buah perah adalah sejenis buah yang berasal daripada pokok perah yang tumbuh di dalam hutan hujan khatulistiwa di Malaysia. Kalau di kampung aku sendiri pun buah ini amat terkenal. Berbeza dengan buah getah buah perah berbentuk lonjong dan berwarna coklat kehitaman. Apabila sudah cukup tua dan matang sama seperti buah getah juga ia akan gugur ke bumi melalui kaedah mekanisma letupan. Buah perah akan banyak jatuh ketika cuaca panas kerana kulit luarnya yang sudah tua akan merekah dan menjatuhkan isinya. 

Di kampung aku musim buah perah matang adalah di antara bulan Julai hingga Ogos. Dulu sewaktu kanak-kanak buah perah menjadi antara sumber pendapatan kami untuk mendapatkan duit belanja. Cari dan kemudian jual.

Buah perah yang sedang direbus

Sebelum dimakan buah perah perlu direbus terlebih dahulu. Kemudian setelah direbus rendamkan didalam air untuk satu malam. Setelah itu buah perah bolehlah dijeruk. Untuk membuat jeruk perah buah perah ini akan diperam didalam satu bekas bersama-sama air garam. Buah perah yang telah dijeruk dapat bertahan untuk satu tempoh yang agak lama. Rasa buah perah yang telah dijeruk lebih kurang seperti kacang, lemak-lemak masin dan rangup.

Buah perah rebus

Jika untuk dimakan terus buah perah ini bolehlah direbus sehingga empuk, tetapi sebelum direbus ia hendaklah diketuk terlebih dahulu. Setelah itu rebus bersama-sama air garam. Buah perah tidak boleh dimakan terus kerana jika tidak dimasak dengan betul boleh memabukkan. Buah perah yang telah dijeruk tadi biasanya akan disimpan sehingga musim tengkujuh.

Isi buah perah.
Sumber: Google Image

Jika berpeluang bagi mereka yang belum pernah merasai buah perah ini cubalah, pasti anda akan tertarik dengan keenakkannya. ;)





Thursday, 24 July 2014

Sukan Komanwel

Assalamualaikum w.b.t..


Sukan Komanwel merupakan sukan yang diadakan setiap empat tahun yang melibatkan negara-negara komanwel. Negara-negara komanwel adalah negara-negara yang pernah berada dalam taklukan pihak British dan lahir pada Persidangan Emparial pada akhir tahun 1920-an. Selepas negara-negara jajahan British mencapai kemerdekaan, komanwel telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara bekas jajahan British ini. Kesemua ahli komanwel terdiri daripada 53 buah negara dan beribu pejabat di London, United Kingdom di ketuai oleh Ratu Elizabeth II. Namun begitu, tidak semua ahlinya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara. Negara-negara yang mengambilnya sebagai ketua negara dikenali sebagai Kerajaan Komanwel (Commanwealth Realm) dimana majoriti ahlinya adalah republik (negara yang diperintah oleh ketua yang dipilih oleh rakyatnya seperti president) dan sebahagian yang lain mempunyai rajanya yang tersendiri.

Pada mulanya ia dikenali sebagai Sukan Empayar British yang diadakan pada tahun 1930 di Hamilton, Ontario, Kanada. Kemudian namanya ditukar kepada Sukan Komanwel Dan Empayar British (1954), kemudian kepada Sukan Komanwel British (1970) dan seterusnya Sukan Komanwel (1978). 


Negara Komanwel



Kerajaan Komanwel

Terdapat juga beberapa buah negara yang telah meninggalkan Komanwel antaranya Ireland, Newfoundland, Zimbabwe dan Gambia. Pada tahun 1976, Negeria telah memulaukan Sukan Komanwel kerana New Zealand menyokong dasar apartied di Afrika Selatan. Seterusnya pada tahun 1986, 32 negara daripada 59 buah negara daripada benua Afrika, Asia dan Kepulauan Carribean telah memulaukan Sukan Komanwel kerana Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thather menyokong dasar apartied di Afrika Selatan. Pemulauan juga terjadi pada tahun 1974, 1982 dan 1990 kerana isu Afrika Selatan.

Malaysia juga pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998 di Kuala Lumpur. Manakal untuk edisi tahun ini yang diadakan di Glasgow, Scotland Malaysia telah menghantar seramai 269 atlet dan pegawai. Daripada jumlah 179 orang atlet, 175 daripadanya adalah atlet elit, 5 atlet pelapis, 30 atlet luar Majlis Sukan Negara (MSN) dan 9 atlet paralimpik.


Glasgow, Scotland 23rd July-3rd August 2014

Clyde

Maskot Sukan Komanwel 2014, Clyde bukanlah sejenis haiwan seperti maskot-maskot sebelum ini tetapi sebaliknya adalah pokok bunga Thristle yang menjadi lambang Scotland dan nama Clyde pula adalah inspirasi daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow.

Oleh itu marilah bersama-sama kita bersorak untuk pasukan Malaysia dan semoga sasaran pingat yang disasarkan dapat dicapai.

#GoTeamMalaysia!

Sumber: 
http://www.bharian.com.my/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sukan_Komanwel

Memori Kad Raya

Assalamualaikum w.b.t..

Pada masa sekarang banyak medium-medium lain yang membolehkan kita menghantar ucapan-ucapan raya dengan lebih senang, ringkas dan pantas bagi menggantikan kad raya. Penghantaran kad raya ni sebenarnya sangat-sangat nostalgik dan mempunyai nilai-nilai sentimentalnya yang tersendiri. Tahun-tahun yang sudah dari aku tingkatan satu lagi aku juga selalu berbalas-balas kad raya dengan kawan-kawan. Kalau tak beli kad raya yang dah siap, ada juga yang buat sendiri. Maklumlah masa tu penggunaan telefon bimbit dan internet masih belum meluas, jadi kad raya dijadikan medium untuk menyampaikan ucapan Salam Aidilfitri kepada rakan-rakan. 

Contoh Kad Raya
Kelebihan Kad Raya adalah kita dapat menyimpannya dalam tempoh yang lama tanpa perlu memadamnya bila inbox penuh dan boleh ditilik tanpa perlu membuka laptop, telefon pintar ataupun sebarang gajet. Apabila disimpan untuk satu tempoh yang mungkin agak lama, kita pasti akan tersenyum sendiri membaca bait-bait kata yang telah dicoretkan dan ingatan kepada si pengirim kembali menerjah. Dia bagaimana ya sekarang? Sihatkah? Beraya dimana? Dengan siapa? Baju raya dia warna apa ya? Ingatan yang membawa rindu.. Rindu kepada sebuah memori.

Tahun lepas berpusing-pusing aku mencari kedai yang ada menjual kad raya di pekan berdekatan rumah. Akhirnya jumpa juga, tu pun pilihan tak banyak sangat walaupun mungkin dibandar-bandar masih banyak kedai-kedai terutamanya kedai-kedai alat tulis yang menjual pelbagai pilihan dan design kad raya. Harap-harap pada masa akan datang kad raya akan terus wujud dan tidak hilang ditelan zaman. Ataupun nak senang zaman sekarang buat je kad raya design sendiri kan, yela sekarang ni pasti kebanyakkan orang mempunyai laptop, printer dan segala kelengkapam sendiri dirumah. Tapi tahun ni tiada kad raya kepada sesiapa yang aku kirimkan. Walaupun mungkin tiada kad raya, tiada sms atau tiada balasan kepada segala ucapan-ucapan kalian namun ingatan untuk kalian sentiasa ada bersama-samaku. 

Ingatan tulus ikhlas dariku, Fatin Wawa. :) 


Tuesday, 22 July 2014

10 Malam Terakhir Ramadhan


Assalamualaikum w.b.t..


Ramadhan semakin melabuhkan tirai. Masa dirasakan seolah-olah meluncur dengan begitu laju. Dalam masa kurang seminggu lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Walaupun Hari Raya dirasakan sudah tidak semeriah zaman kanak-kanak, namun Alhamdulillah tahun ini kita masih berpeluang menyambut perayaan ini dalam suasana yang aman walaupun negara kita masih lagi berdukacita atas apa yang berlaku kepada pesawat MH 17 minggu lepas. Semoga urusan membawa balik jenazah dipermudahkan dan semua mangsa dapat dibawa pulang dan dikebumikan dengan sempurna. Amin.. v.v

Rasulullah SAW membahagikan Ramadhan itu kepada tiga fasa. Fasa pertama, 10 hari pertama Ramadhan diriwayatkan hari-hari diturunkan rahmat kepada manusia. 10 hari pertengahan Ramadhan adalah fasa keampunan dimana Allah banyak memberi maghrifah ataupun keampunan kepada hamba-hambanya. Manakala fasa terakhir 10 Ramadhan adalah pembebasan daripada api neraka sebagaimana yang diriwayatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi,
"Adalah bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya maghrifah dan akhirnya pembebasan daripada api neraka."

Pada malam terakhir 10 Ramdhan Alah SWT menyediakan satu malam yang dinamakan malam al-qadr iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ini juga merupakan anugerah Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW yang tidak mempunyai jangka hidup yang panjang seperti umat-umat terdahulu untuk beribadat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr:


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?

Malam Laulatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan

Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur semua urusan
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! 


Justeru itu semoga Ramadhan kali ini membawa seribu keberkatan kepada kita dan semoga kita diberi peluang untuk bertemu semula dengan Ramadhan yang akan datang. 


Saturday, 19 July 2014

Kesempatan ini..

Assalamualaikum w.b.t..


Apabila sentiasa berada di zon selesa, kadang kala membuatkan kita terleka, terlena. Lalu Allah datangkan musibah kepada kita. Kerana mungkin sudah lama kita tidak meminta kepadaNya, Dia rindukan rintihan, tangisan suara kita. Supaya kita sedar hanya Dia sahajalah yang Maha Esa, tempat kita meminta, yang memelihara, Maha Mendengar, Maha Mengetahui segala di langit dan di bumi. Maha Mengetahui segala yang terjadi, segala hikmah yang tersembunyi..

Manusia menjadi kering hati, apatah lagi punya perikemanusiaan dan belas sesama insan. Kuasa menjadi tunjang, yang lemah makin ditindas. Nyawa itu umpama mainan, seperti lupa nyawa itu hanya satu, tiada dua, tiada tiga. Kita.. tidak punya kuasa untuk bersuara kadang hanya mampu melihat, membantu sekadar yang terdaya dalam keterbatasan yang ada. Paling tidak pun, tangan ditadah, doa dipanjatkan hanya kepadaNya, mungkin itu juga mampu menjadi sumbangan untuk ummat sejagat. Kini baruku mengerti erti sebenar "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul."

Jika masih diberikan kesempatan untuk bernafas hari ini bersyukurlah. Sekurang-kurangnya kita masih punya peluang untuk bertaubat. Mungkinkah dosa kita sebanyak buih dilaut, seinfiniti pasir di pantai? Namun Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Mengasihani. Semoga dosa-dosa kita sentiasa terampun dan terus kuat menghadapi segala yang mendatang, segala fitnah di akhir zaman ini. Tidak bahagia di sini tidak mengapa, janji Allah itu pasti.. SyurgaNya yang indah pasti menanti. Itulah kehidupan yang hakiki. Tanpa bom, tanpa bedilan disana sini.. 




v.v