Friday 25 January 2013

Sejarah dan Istanbul..

Assalamualaikum w.b.t..


Kedudukan Turki dalam peta dunia
Istanbul adalah kota terbesar di Turki yang juga merupakan pusat ekonomi, kebudayaan dan juga tersimpan berjuta kisah sejarah dunia. Istanbul mempunyai populasi penduduk mencecah 13.5 million yang juga telah tersenarai sebagai sebuah kawasan kota Metropolitan di Eropah dan juga tersenarai di ranking ke-2 selepas Shanghai sebagai kota terbesar didunia yang mempunyai kepadatan penduduk yang cukup tinggi. Istanbul merupakan negara yang merentasi benua, mempunyai perairan terbuka dikenali sebagai Bosphorus- salah sebuah perairan tersibuk didunia yang terletak disebelah barat laut Turki.
Kedudukan Istanbul dalam peta Turki
Mula diasaskan di Tanjung Sarayburnu sekitar 660 SM yang dikenali sebagai Byzantium atau sekarang dikenali sebagai Istanbul telah membangun menjadi sebuah kota sejarah yang sangat penting. Kota bersejarah ini pernah menyaksikan bagun dan jatuhnya empat buah empayar dunia yang sangat berpengaruh suatu masa dahulu; Empayar Rom (330-395), Empayar Byzantine (395-1204 dan 1261-1453), Empayar Latin (1204-1261) dan Empayar Turki Uthmaniah (1453-1922) yang pernah menjadi sebuah Empayar Islam yang agung suatu ketika dahulu. 

Kedudukan stategik Istanbul yang terletak di Laluan Sutera, laluan yang menghubungkan Eropah dengan Timur Tengah yang hanya satu-satunya laluan laut yang terletak diantara Laut Hitam dan Laut Mediterranean. Pada awalnya Istanbul dikenali sebagai Byzantine, diambil sempena nama seorang raja iaitu Byzas yang telah mengasaskannya sekitar 660 SM.

SEJARAH
Artifak zaman neolitik bertarikh 7 mellinium SM ditemui oleh ahli arkeologi pada awal abad ke-21 Masihi membuktikan adanya penempatan yang lebih awal sebelum tertubuhnya Bosphorus ataupun Selat Istanbul. Sebelum tempat ini ditemui, dipercayai telah adanya sebuah kerajaan yang dipegang oleh puak Thracians termasuklah puak Phrygians yang telah mula menetap di Sarayburnu pada akhir-akhir 6 mellineum SM lagi. 

Namum begitu, sejarah Istanbul secara umumnya bermula sekitar 660 SM apabila seorang peneroka daripada Megara dibawah perintah Raja Byzas telah menubuhkan Byzantium (Istanbul) di sebelah kawasan Eropah Bosphorus. Binaan Acropolis telah dibina berdekatan dengan Tanjung Emas pada tapak penempatan awal puak Trachian yang telah menjadi pusat pertumbuhan ekonomi.Fungsi binaan Acropolis tersebut adalah sebagai pusat keagamaan dan dijadikan sebagai pusat pentadbiran. Kota ini telah melalui satu tempoh yang singkat pemerintahan Parsi pada awal abad ke-5 sebelum Masihi, namun telah ditawan semula oleh Yunani semasa Perang Greco-Parsi ataupun juga dikenali sebagai Perang Parsi (499 SM- 449 SM). Kemudian Byzantium dijadikan Liga bagi orang-orang Athens dan telah diganti oleh Empayar Athens Kedua yang akhirnya mendapat kemerdekaan pada 355 SM. Disebabkan jangka masa yang panjang berada dibawah taklukan orang-orang Rom, Byzantium secara rasminya menjadi sebahagian daripada Empayar Rom pada 73 Masihi. 

EMPAYAR TURKI UTHMANIYAH

Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah diasaskan oleh Uthman bin Ertughrul bin sulaiman Shah yang berasal daripada suku Qayi iaitu sebuah Kabilah Al-Ghuzz dari kalangan orang Islam Turki yang tinggal berdekatan Lautan Caspian. Beliau adalah seorang pemimpin yang telah terlibat dalam memerangi kaum Monggol ketika memberi khidmatnya kepada kesultanan Salquq dan telah berjaya menumpaskan pihak Byzantine sehingga Sultan Ali Al-Din mengangkatnya sebagai amir dengan nama Bad al-Shah al-Uthman dan kerajaannya dinamakan sebagai Empayar Uthmaniyyah.

Kehebatan Uthman yang memerintah Turki telah disambung oleh pemimpin-pemimpin yang lain selepasnya yang mempunyai kekuatan peribadi dan moral yang tinggi seperti Sultan Murad I , Sultan Murad II, Sultan Bayazid I, Sultan Muhamad Al-Fateh dan mecapai tahap kegemilangannya pada zaman Sultan Sulaiman I (1520-1566). Pemerintahan yang hebat dikalangan pemimpin-pemimpin ini telah meletakkan Empayar Turki Uthmaniyyah dalam keadaan yang sangat hebat sehingga mampu berkembang ke Afrika Utara di sebelah barat daya dan Parsi di sebelah Timur.    

SULTAN MUHAMAD AL-FATEH PENAKLUK KOTA CONSTANTINOPLE

Sultan Muhamad Al-Fateh merupakan sultan ke tujuh dalam pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau merupakan pembuka kepada Kota Constantinople (Istanbul). Beliau telah terlibat dalam peperangan pembukaan kota ini ketika berumur 26 tahun yang memakan masa selama 54 hari. Keadaan ini telah dibayangkan oleh baginda Rasulullah S.A.W ketika perang Khandak dalam sabda baginda yang bermaksud, 

"sesungguhnya constantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya".

Sultan Muhamad al-Fateh ialah seorang tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur tercatat dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai seorang pemimpin malah merupakan seorang panglima perang yang dikenali di benua Eropah. Beliau merupakan pemerintah Islam yang pertama yang mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat sebagai "Grand Signeur" yang bermaksud pemimpin agung. 

"Tidaklah kami pernah mendengar atau melihat hal ajaib seperti ini. Muhamad Al-Fateh menukarkan darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhamad Al-Fateh dengan usahanya ini telah mengatasi Alexender the Great!" - Ahli sejarah Byzantine.

******************

Ok.. mungkin setakat ini je post untuk kali ini pasal sedikit sebanyak sejarah Istanbul yang boleh aku kongsikan. Kalau diikutkan terlampau banyak dan aku sendiri pun  tak leh nak digest kalau banyak-banyak sangat. Kenapa aku beria sangat erk duk cerita pasal sejarah Istanbul ni? sebab aku merasakan Istanbul ni mempunyai banyak sejarah dunia yang sangat menarik untuk diterokai. Untuk mencerita tempat-tempat menarik yang terdapat di Istanbul aku tak mampu sebab belum berpeluang menjejak kan kaki ke sini, Insyaallah suatu hari nanti.. Sesuatu yang mejadi sejarah itu hanya mampu di kenang untuk di jadikan panduan dan pedoman supaya kita menjadi insan yang tak mudah lupa diri. Namun apa yang pasti setiap daripada kita juga punya sejarah sendiri... ;)

Kredit gambar-Google

1 comment: