Thursday 28 August 2014

Air Terjun Sekayu

Assalamualaikum w.b.t..

Walaupun tak jauh sangat dari rumah sebenarnya dah lama sangat aku tak datang sini. Hehe.. Beberapa hari lepas sepupu aku ajak picnic. Apa lagi on je la. 







Cuma berendam kat kawasan bawah-bawah je, tak bolehla pegi atas-atas sangat, ada budak kecik. Gambar time makan pun tak sempat nak snap, sebab dah kebulur sangat masa tu, maklumlah tak makan apa lagi pagi tu.

Lagi sikit gambar yang sempat ambil..




3 gambar diatas ni sebenarnya untuk entri snapshot tapi tak apalah, kongsi je la kat sini yep. (^_^)Y








Wednesday 27 August 2014

Cerita Malam Hujan #2

Assalamualaikum w.b.t..

Seminggu yang lepas kucing kat rumah aku melahirkan 3 ekor anak dicelah rak kasut kat luar rumah. Kemudian kitorang sediakan sebuah kotak dan letakkan kotak tu kat tepi rak tu. Petang-petang sekarang nikan selalu hujan, risau juga takut-takut nanti ntah kemana-mana dia bawa lari anak dia. Sebelum ni ibunya tu dah beranak sekali,tiga ekor juga tapi seekor je yang survive sampai besar sebab ibu kucing kat rumah aku ni tak pandai sangat jaga anak dia. Kalau dibiarkan je rasanya tak ada sekor pun anaknya yang akan hidup. Sepanjang seminggu ni elok je la dia jaga anak dia. Tapi bermula kelmarin dia dah mula nak alih-alih anak dia. Daripada dalam kotak tepi rak tu dia alih kat sebelah rumah tempat aku simpan basikal aku. Tempat tu kalau hujan memang tempias, then dah alang-alang dia nak duk situ kitorang pun alih balik kotak tu letak kat situ. Lagipun anak-anak dia tu kalau tidur tertonggeng-tonggeng. 

Gambar ni aku ambil masa ibu dia tak ada. Geram sangat tengok.
Malam semalam hujan lagi. Sebelum hujan lebat kakak aku pergi check sama ada tempat ibu dan anak-anak kucing ni kena tempias hujan ke tak. Bukan setakat hujan lebat angin pun kencang malam tu. Then paginya tu memang tak pergi check lah keadaan anak-anak kucing tu. Cuma pagi tu dalam pukul 8 lebih aku macam terdengar-dengar suara anak kucing. Aku fikir takkanlah ibu kucing tu bawak masuk anak dia kat dalam rumah sebab semua pintu memang tertutup. Aku pergi tengok dalam kotak tu rupanya tinggal 2 ekor je lagi anaknya. Aku fikir ni mesti ibu dia bawak lari lagi ni. Aku panggil la ibu dia tu, tapi tak de kat situ. Aku pergi belakang rumah aku panggil lagi sekali, tetiba dia muncul dari sebalik semak belakang rumah. Aku tanya dia kat mana sekor lagi anak kau?! Dia tak jawab. (Ah! Gila. Hahaha!). 

Kemudian aku pergi lagi sekali tengok kat tepi rumah. Depan sikit daripada kotak tu rupa-rupanya...

Joystick da mati dalam longkang.. :'(((
Aku rasa mungkin time hujan malam semalam dia nak alihkan anak dia lepas tu sebab hujan lebat dan angin kencang terjatuh lepas tu dia tinggal anak dia macam tu je. Time aku jumpa tu kesian kat dia, dah kekerasan dengan mulutnya ternganga. Kalau dalam gambar kat atas tu Joystick yang paling atas sekali. Yang tidur tertonggeng-tonggeng tu. :'(( Geram betul lah kat ibu dia tu. Rasa macam nak cincang-cincang je... eeeeiiiii!!! Tengok anak kucing mati dalam longkang macam ni pun da sedih, ntah macam mana ye orang yang sanggup buang anak dorang merata-rata tu. Can't imagine that. 




Saturday 23 August 2014

Warisan

Assalamualaikum w.b.t..




Warisan.. Lagu ini adalah lagu patriotik yang paling aku suka, lebih-lebih lagi apabila ianya dinyanyikan oleh penyanyi asalnya Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad. Nyanyiannya lebih bersemangat dan menusuk kalbu. Memetik kata-kata Allahyarham Sudirman, 
"kemerdekaan sejati ialah memerdekakan diri daripada belenggu kemalasan dan kemunduran."
Sebagai rakyat yang cintakan negara ayuhlah bersama-sama memerdekakan diri dan memelihara warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita dan ini semua juga adalah untuk diwarisi oleh anak cucu kita dan generasi akan datang.

Selain itu video ini didekasikan khas kepada mangsa-mangsa tragedi MH370 dan MH17. Memetik bait-bait lirik lagu ini 
"Aku bukanlah perwira gagah menghunus senjata.. Namun hati rela berjuang walau dengan cara sendiri demi cinta ini.." 
Demi tugas, demi tanggungjawab kepada negara tercinta, mereka telah berjuang hingga ke hembusan nafas terakhir. Alhamdulillah hampir separuh jenazah rakyat Malaysia sudah berjaya dibawa pulang, dan semoga segala urusan membawa balik jenazah mangsa yang masih berbaki dipermudahkan. Semoga mereka bersemadi dengan aman di tanah air sendiri. v.v


Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.
Salam Kemerdekaan ke-57.


#Notakaki: Antara lagu asal dengan yang ini mana anda lagi suka?


Friday 22 August 2014

22 Ogos 2014 - Hari Berkabung Malaysia

Assalamualaikum w.b.t..


Sumber: Berita Harian Online

Istiadat berkabung ini adalah bagi menzahirkan rasa sedih dan dukacita kita terhadap tragedi yang menimpa MH17 serta sebagai penghormatan kepada jenazah-jenazah mangsa yang dijadualkan bakal tiba esok pagi. Semoga segala urusan membawa pulang dan pengurusan jenazah-jenazah dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Al-Fatihah dan takziah buat semua ahli keluarga mangsa. Bagi mangsa-mangsa yang beragama Islam semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan orang-orang yang beriman. Daripada Allah kita datang dan kepada Allah juga kita kembali. v.v







Wednesday 13 August 2014

Segmen Ceritera Merdekaku by Dunia Zumal

Assalamualaikum w.b.t..


klik banner untuk join
Bila bercakap pasal kemerdekaan, pasti ada kenangan-kenangan yang pernah kita lalui ketika menyambut bulan kemerdekaan, dari kecil sampai sekarang. Namun disebalik sambutan kemerdekaan itu apakah penghayatan dan sejauh mana kita memahami erti kemerdekaan itu. Jika kita bercakap tentang kemerdekaan negara pastinya tarikh 31 Ogos terus terlintas di dalam kotak fikiran. Itu kemerdekaan negara, tapi bagaimana pula dengan kemerdekaan diri?

Kalau zaman kanak-kanak dulu sambutan kemerdekaan dan bendera Malaysia yang ada cokelat warna-warni dalam batangnya memang sangat sinonim. Ingat tak? Mesti korang pun pernah belikan. Zaman sekolah rendah dulu memang syok sambut merdeka kat sekolah sebab boleh dapat bendera percuma, lepas tu boleh selit-selitkan pada handle basikal. Lagi satu yang paling best masa zaman sekolah dulu mesti ada pertandingan melukis dan mewarna, dan aku selalu juga dapat nombor satu. Hahaha.. Pandai ke aku melukis? ^.-

Then, masuk zaman sekolah menengah pulak, aktiviti jadi advancelah sikit. Antara aktiviti yang pernah aku masuk untuk sambutan bulan kemerdekaan time sekolah menengah adalah koir sebab persembahan wajib bagi setiap kelas. Aku ingat lagi time form 1 kelas aku kena buat koir lagu Perwira. Agak susah juga lagu tu sebab melodinya mendayu-dayu sampaikan akhirnya kitorang request nak tukar lagu. Pernah juga untuk sambutan hari kemerdekaan kitorang jahit a "Giant Jalur Gemilang", pada malamnya pula sambil tengok persembahan dari bebudak kelas lain kitorang menikmati santapan ubi kayu bersama ikan kering. Itulah antara moment yang paling best sambut hari merdeka.

Selain tu, masa form 5 aku berpeluang menyertai perarakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-50, berkawad sejauh beberapa kilometer (tak ingat berapa kilometer). Latihan kawad selalu sampai ke pagi, punyalah rasa dah buat terbaik, tapi tak ada rezeki nak menang. Oh ya lagi satu pertandingan menghias kelas sempena hari kemerdekaan. Budak-budak lelaki kelas aku memang agak nakal, boleh dorang pergi rosakkan hiasan kelas-kelas yang lain tapi akhirnya kantoi. Haha.. Tapi lepas zaman sekolah, kenangan sambutan kemerdekaan tu macam tak ada sangat je, kecuali 31 Ogos memang confirm lah akan cuti. Hehe..

So, itulah sedikit sebanyak kisah sambutan hari merdeka yang paling aku ingat. Sebenarnya erti kemerdekaan bagi setiap individu itu mungkin berbeza, lebih-lebih lagi jika dibandingkan kita, rakyat biasa dengan para prajurit negara yang sanggup berkorban untuk mempertahankan negara. Dan.. begitu juga dengan orang-orang yang hidup di era pra kemerdekaan dan pasca kemerdekaan, mereka pasti lebih merasa bagaimana peritnya melalui kehidupan dalam ketakutan, darurat, inflasi dan sebagainya pada ketika itu. Oleh itu, amat patutlah kita bersyukur dengan kemerdekaan yang kita perolehi walaupun mungkin diri kita tidaklah betul-betul merdeka daripada sudut lain, pemikiran, belenggu hutang dan sebagainya. Namun disebabkan kemerdekaan ini, kita mampu untuk berusaha memerdekakan diri kita daripada perkara-perkara lain, masih mampu untuk keluar bekerja dan mencari rezeki dalam keadaan yang aman. 

Akhir kata, ayuhlah bersama-sama menjaga kedaulatan negara kita yang tercinta ini supaya kemerdekaan ini dapat diwarisi oleh generasi-generasi akan datang.

Disini lahirnya sebuah cinta..




Monday 11 August 2014

Oat Telur

Assalamualaikum w.b.t..

Dalam entri sebelum ni ada dibincangkan tentang karbohidrat dan protein dalam diet. So, untuk kali ini jom kita tengok apa yang boleh dibuat dengan menggabungkan karbohidrat dan protein. Eh..eh.. asyik cerita pasal makanan je kan.. Yela, siapa tak suka makan kan? Hadap je lah ye. Ngee~

Malam-malam terpaksa stay up buat kerja, deadline dah dekat, ataupun bertungkus lumus study sebab exam dah dekat kekononnya tak nak makan makanan yang berat-berat sangat waktu malam boleh cuba resepi ni (resepilah sangat kan..), lagipun bahan-bahannyapun simple je.



Bahan-bahannya (untuk 1-2 orang) hanya perlukan:
1) 1 biji telur
2) 3 sudu besar oat
3) Secubit garam 

Cara-cara:
1)Pecahkan telur dan pukul seketika. 
2)Masukkan oat kedalam telur yang telah dipukul, gaulkan sehingga rata. Kemudian masukkan secubit garam. Kalau tak mau tambah garam pun boleh.
3)Gorengkan dengan menggunakan minyak yang sedikit. Pastikan ketebalannya tidak terlalu tebal. Kalau nak buat kecil-kecil (saiz biskut marie) je pun boleh, boleh dapat banyak sikitkan. Hehe..

Dah siap goreng, hidangkan. Tadaa.. Senangkan. Budak tadikapun boleh buat. Kalau aku suka makan dengan sos. Juga sesuai untuk dibuat breakfast. Selamat mencuba! ;)

Protein Dalam Diet

Assalamualaikum w.b.t..

Sebelum ini sudah dibincangkan keperluan Karbohidrat Dalam Diet seharian dan bagaimana untuk mengawal jumlah pengambilannya. Untuk entri kali ini aku ingin berkongsi tentang keperluan protein dalam diet seharian. Protein adalah nutrisi yang penting bagi mengekalkan fungsi sel-sel, membaiki dan mengawalatur pelbagai fungsi badan. Otot-otot, organ-organ dan pelbagai hormon diperbuat daripada protein, dan ianya juga digunakan dalam proses pembuatan haemoglobin (komponen didalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan). Selain itu protein juga digunakan di dalam penghasilan antibodi yang berfungsi menentang jangkitan, penyakit dan penting kepada sistem pembekuan darah. Contohnya didalam laluan sistem pembekuan darah dibawah fibrin (sejenis non-globular protein) bertindak memerangkap sel darah merah daripada terus menerus keluar melalui salur darah yang tercedera.


Contoh salah satu pathway dalam Blood Coagulation System

Ok, kita tinggalkan sistem pembekuan darah, kalau cerita pasal ni sampai esok pun tak habis. Apabila seseorang mengambil makanan yang mengandungi protein, jus penghadaman (digestive juice) didalam perut dan usus akan mula berkerja. Penghadaman protein bermula sebaik sahaja makanan masuk ke dalam perut. Protein tersebut akan dipecahkan kepada unit asas protein iaitu asid amino (amino acid). Asid amino tersebut seterusnya akan digunakan semula untuk membuat protein yang diperlukan oleh badan untuk mengekalkan otot-otot, tulang, darah dan organ. Asid amino boleh diibaratkan seperti blok-blok binaan bagi tubuh badan. Protein yang diperolehi daripada makanan kita mengandungi jenis-jenis asid amino yang berbeza. Essential amino acid mestilah diambil dalam diet seharian kerana ia tidak dapat dihasilkan oleh badan. 9 jenis essential amino acid yang harus dimasukkan kedalam diet adalah isoleucine, leusine, lysine, methionine, phenylalanine, threonine, trypthophan dan valine.

SUMBER-SUMBER PROTEIN





Cadangan pengambilan protein adalah daripada makanan berasaskan haiwan seperti daging, susu lembu dan telur. Protein daripada tumbuhan mungkin akan kurang dihadam kerana perbezaan intrinsik (keadaan protein itu sendiri) dan juga disebabkan faktor-faktor yang lain seperti serat yang mungkin akan mengurangkan penghadaman protein tersebut sehingga 10 peratus. Sumber protein utama bagi diet vegan adalah kekacang (peas, dal dan bean), bijirin, yang mana mempunyai tenaga yang agak padat. Diet berasaskan protein daripada tumbuhan semata-mata ianya agak mencukupi dan membekalkan jumlah essential amino acid yang disarankan untuk orang dewasa. Berdasarkan Persatuan Dietatik Amerika, gabungan protein dalam setiap makanan adalah tidak perlu, asalkan makanan yang kaya protein diambil dalam diet seharian. 

SUMBER PROTEIN YANG BAIK
Sumber ptotein yang rendah atau tanpa lemak yang baik adalah:


  • Daging lembu, ayam dan kambing.
  • Ikan dan kerang-kerangan.
  • Produk tenusu termasuk keju kotej, keju, yogurt dan susu.
  • Telur, putih telur.
  • Kacang bean kering, peas, oats dan kekacang.
  • Tofu dan produk soya.  
Protein boleh dianggap sebagai protein lengkap (protein yang membekalkan essential amoni acid yang secukupnya) ataupun protein tidak lengkap (mengandungi kurang essential amino acid). Daging, telur dan produk tenusu adalah protein lengkap tetapi protein berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran, kacang bean dan produk berasaskan tumbuhan yang lain adalah protein tidak lengkap. Walaubagaimanapun, sesetengah protein tidak lengkap boleh digabungkan untuk membentuk protein lengkap contohnya seperti nasi dan pacang bean, mentega kacang dan jeli dan jangung dan kacang bean. 

Berapa banyakkah jumlah protein yang diperlukan oleh badan? Pengambilan protein seseorang bergantung kepada umur, keadaan perubatan, tahap aktiviti dan juga saiz badan. Berdasarkan piramid makanan untuk golongan dewasa disarankan mengambil 2-3 hidangan protein setiap hari. Jumlah protein yang diperlukan dalam diet bergantung kepada berat badan ideal seseorang. Berat badan ideal digunakan kerana asid amino adalah tidak diperlukan oleh sel-sel lemak, hanya digunakan oleh jisim badan tanpa lemak (lean body mass). Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) meletakkan keperluan protein dalam makanan adalah 0.45 gram protein per kilogram berat badan ideal.

Antara saiz hidangan protein yang biasa adalah:
  • 3-4 oz daging tanpa lemak, ayam dan ikan
  • 1/2 cawan kekacang
  • 1 biji telur atau 2 sudu besar mentega kacang (dikira bersamaan dengan 1 oz daging tanpa lemak).
Egg substitute
Jika anda mengambil makanan rendah lemak, pilihlah bahagian protein rendah lemak seperti ikan, kerang-kerangan, beans, pengganti telur (egg substitute) dan produk susu tanpa lemak.

Selain itu, anda juga boleh merujuk pada label makanan pada paket pembungkusan untuk mengetahui jumlah protein dalam satu hidangan.

Diharap entri ini dapat membantu mereka yang sedang mengawal pemakanan..:)




Sumber rujukan: Diet &Nutrition A Guide To Weight Maintenance And Healthy Living with a Malaysian Touch! Terbitan Karangkraf.


Sunday 10 August 2014

Dunia Hari Ini

Assalamualaikum w.b.t..


Alhamdulillah.. Masih dapat menghirup udara dalam keadaan yang aman dan damai. Petang tadi dapat juga bersenam walaupun sejenak. Dah agak lama tak main badminton. Pagi tadi pergi keluar dengan sepupu dan adik aku, dapatla juga beli raket baru menggantikan raket lama yang dah rosak. Badminton ni antara permainan yang sering kitorang (aku dan rakan-rakan sekampung) main satu ketika dahulu. Sangat meriah. Berbeza dengan sekarang semua sudah dewasa dan membawa haluan masing-masing. Yela bila dah dewasa ni mana boleh samakan dengan zaman kanak-kanak dulu. Indahnya dunia suatu ketika dahulu.. v.v

Bukanlah tidak bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan olehNya. Ya.. Kehidupan sekarang jauh lebih baik daripada dahulu, walaupun kegembiraan itu seolah-olah pergi bersama masa yang mana mungkin dapat diundur. Jika punya pilihan mahu sahaja aku kekal hidup dizaman itu walaupun tanpa teknologi secanggih sekarang. Tujuh tahun kebelakangan ini akibat daripada ledakan perkembangan teknologi maklumat, internet dan rangkaian-rangkaian sosial menjadikan dunia dan teknologi semakin canggih, segalanya dihujung jari. Kali pertama aku memiliki sebuah telefon bimbit semasa aku dalam tingkatan tiga setelah selesai menduduki PMR. Hadiah daripada emak. Walaupun pada ketika itu telefon bimbit tidaklah secanggih sekarang, tapi cukuplah dapat ber'SMS' dan membuat panggilan paling tidak pun sudah rasa cukup gembira apabila berjaya mengaktifkan GPRS dan dapat menerima MMS.

Walaupun dulu kita mampu hidup tanpa internet, namun dalam dunia hari ini internet seolah-olah sudah menjadi satu keperluan dan akses kepada internet juga sudah sangat meluas. Jika tiada internet mana mungkin aku dapat menaip dan menyiarkan entri ini. Contohnya aku sendiri, agak haru juga selepas menamatkan langgangan broadband lebih kurang 2 tahun yang lepas. Dan tanpa internet pasti sukar bagi pelajar-pelajar untuk menyiapkan assignment. Tidak dinafikan internet merupakan sumber yang sangat berguna dan bermanfaat kepada kita. Bermanfaat jika digunakan dengan cara yang betul..




Namun tidak kurang juga media-media sosial sekarang digunakan bagi menyebarkan propaganda-propaganda, fitnah-fitnah dan sebagainya yang dapat memberi pengaruh-pengaruh yang negatif kepada masyarakat. Laman sosial juga sering dijadikan medium untuk seseorang itu berkongsi pendapat, meluahkan perasaan, memuatnaik video, parody dan sebagainya. Namun ada juga yang menggunakan medium laman sosial untuk berkongsi perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Maka terjadilah satu senario kutuk mengutuk, memaki hamun dan ada juga yang mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan perbalahan sesama komentator. Bergaduh hanya kerana sebuah video mahupun sekeping gambar. Apa yang kalian dapat?

Dan sekarang isu boikot produk-produk yang menjana kepada ekonomi Israel. Aku sendiri juga menyokong pemboikotan produk-produk ini. Namun disebalik isu ini juga tidak kurangnya menimbulkan perbalahan sesama kita yang sepatutnya bersatu, tetapi disebabkan tindak tanduk sesetengah pihak yang agak mengikut emosi menyebabkan keadaan sebaliknya yang berlaku. Segala apa yang kita kongsikan dilaman-laman sosial lebih senang diakses, janganlah terlalu mengikut emosi dan amarah.

Jika ummat kita sendiri belum bersatu, perbalahan disana-sini, hanya kerana perbezaan pendapat dan politik masing-masing sudah bergaduh, sehingga nak solat pun kena ikut imam pengangan politik masing-masing sedangkan kita semua satu bangsa, satu agama bagaimana kita mahu menjadi contoh yang terbaik kepada orang lain? Ingatlah semulia manapun kita, yang maksum itu hanyalah Rasulullah SAW.. Sedangkan Rasulullah SAW yang maksum sendiripun sering bertaubat dan meminta keampunan kepada Allah SWT, inikan pula kita manusia yang sering melakukan dosa. Oleh itu bertindaklah dengan lebih realistik dan janganlah biarkan diri kita dipengaruhi oleh agenda-agenda dan propaganda-propaganda yang ingin menjatuhkan kita. Sebelum mengakhiri entri kali ini, aku ingin memohon maaf jika penulisan ini menganggu sensitiviti mana-mana pihak. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Semoga Allah merahmati kita semua. v.v

Wassalam.

Monday 4 August 2014

Karbohidrat dalam diet

Assalamualaikum w.b.t..


Kali ini aku ingin berkongsi satu lagi tips kesihatan berkaitan dengan diet. KARBOHIDRAT. Selalunya kita sering kali mendengar tentang keburukan ataupun perkara-perkara negatif mengenai karbohidrat yang sering dipersalahkan menjadi punca utama dalam kenaikan berat badan seseorang. Sesetengah orang menjadi keliru apabila panduan piramid makanan menunjukkan karbohidrat adalah diperlukan untuk sumber nutrisi yang baik. Fakta ringkas tentang karbohidrat adalah korbohidrat terbahagi kepada dua iaitu karbohidrat baik dan karbohidrat jahat yang sepatutnya dielakkan untuk menjaga berat badan.

Diet yang kaya dengan karbohidrat jahat sememangnya menaikkan selera dan mengakibatkan peningkatan ukuran lilit pinggang. Diet rendah karbohidrat akan menggalakkan penurunan berat badan dalam tempoh yang singkat., tetapi disusuli oleh beberapa keadaan yang boleh membahayakan kesihatan. Jadi apakah yang perlu dilakukan? Sebenarnya anda boleh sahaja terus mangambil karbohidrat dalam menu seharian, tetapi PERLULAH TAHU BAGAIMANA UNTUK MEMILIH HIDANGAN KARBOHIDRAT yang sihat didalam menu anda.

Sumber-sumber karbohidrat
Badan kita sentiasa memerlukan tenaga untuk berfungsi. Malah bernafas juga memerlukan tenaga. Makanan menyediakan tenaga yang diperlukan oleh badan dan karbohidrat juga merupakan salah satu sumber yang penting selain daripada lemak dan protein. Karbohidrat membekalkan tenaga yang diperlukan oleh otot, otak dan sistem saraf tunjang (central nervous system). Secara ekslusifnya otak manusia sememangnya bergantung kepada karbohidrat untuk mendapatkan sumber tenaga.

Sistem saraf tunjang
Korbahidrat boleh didapati dalam buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, produk tenusu, produk bijirin, pemanis seperti gula, madu, molases (gula yang telah diproses menjadi sirap pekat) dan sirap jagung (corn syrup). Badan menukarkan karbohidrat yang boleh dihadam (non-fibre) kepada glukos yang akan digunakan oleh sel-sel badan sebagai bahan bakar. Sesetengah karbohidrat ringkas (monosacchides) iaitu glukos, fruktos dan galaktos dipecahkan dengan cepat kepada glukos sementara karbohidrat yang kompleks (polysaccharides) dipecahkan dengan lambat dan masuk kedalam aliran darah secara beransur-ansur. Semasa proses penghadaman, semua jenis karbohidrat dipecahkan kepada glukos sebelum memasuki salur darah dimana terdapat hormon insulin yang akan membantu pembakaran dan penyerapan glukos oleh sel badan. Glukos yang berlebihan akan disimpan sebagai glycogen didalam hati dan otot untuk kegunaan badan apabila paras glukos rendah. Manakala jika terdapat glukos yang berlebihan ianya akan tersimpan sebagai lemak.

JENIS-JENIS KARBOHIDRAT
Secara asasnya terdapat tiga jenis karbohidrat:

1. Karbohidrat ringkas (simple carbohydrates/monosaccharides)
Karbohidrat ringkas terdiri daripada 1 atau 2 unit gula yang dapat dipecah dan dihadam dengan cepat.
Kajian terbaru mendapati sestengah makanan yang mengandungi karbohidrat ringkas boleh menyebabkan peningkatan mendadak paras gula dalam darah, yang juga akan menggalakkan perembesan insulin. Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan selera makan dan meningkatkan risiko penyimpanan lemak yang berlebihan.

2. Karbohidrat kompleks (complex carbohydrates/polysaccharides)
Ianya juga dikenali sebagai kanji terdiri daripada beberapa unit gula ringkas yang boleh dijumpai secara natural (beras perang) dan juga telah diproses (roti putih). Stukturnya lebih kompleks dan ianya mengambil masa untuk dipecahkan dan dihadam. 

Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks memasuki saliran darah secara beransur-ansur dan menggalakkan peningkatan paras insulin secara sederhana yang akan menstabilkan selera dan menyebabkan hanya sedikit sahaja karbohidrat yang akan tersimpan sebagai lemak. Karbohidrat yang tidak malalui proses pemurnian (unrefined) ataupun dikenali sebagai bijirin penuh (whole grain) boleh dijumpai didalam produk seperti beras perang, pasta gandum penuh dan bijirin bran akan dicerna dengan perlahan. Ianya juga mengandungi vitamin, mineral dan serat yang baik untuk kesihatan. Serat dan sayuran yang kaya dengan nutrien, buah-buahan dan kekacang juga merupakan karbohidrat yang mempunyai fungsi-fungsi penting untuk badan dan juga kesihatan. 

3. Karbohidrat yang tidak dihadam (indigestable carbohydrates)
Ianya juga dikenali sebagai serat (fibre). Serat tidak dapat dipecahkan kepada unit asas karbohidrat untuk dihadam. Oleh itu serat bukanlah sumber tenaga untuk badan tetapi ianya dapat menggalakkan kesihatan melalui banyak cara. Contohnya pengambilan serat dapat membantu seseorang dalam penjagaan pengambilan makanan. Pengambilan serat dapat membuatkan seseorang berasa cepat kenyang disamping ianya juga menggalakkan proses peristalsis dan mencegah sembelit.

KESAN JANGKA PANJANG PENGAMBILAN DIET RENDAH KARBOHIDRAT
Apabila pengambilan karbohidrat disekat didalam diet seharian, seseorang akan lebih cenderung untuk meningkatkan pengambilan protein dan lemak yang mana mempunyai kesan jangka panjang seperti:
  • Risiko untuk mendapat pelbagai jenis kanser meningkat apabila buah-buahan, sayur-sayuran, produk bijirin penuh dan kekacang disingkirkan di dalam diet seharian.
  • Makanan berprotein mempunyai purine yang tinggi yang akan dipecahkan kepada asid urik. Peningkatan asid urik dalam darah boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit gout.
  • Meningkatkan risiko penyakit batu karang disebabkan oleh proses ketosis dalam diet tinggi protein.
  • Dari masa ke semasa, diet tinggi protein boleh menyebabkan kehilangan kalsium dan menyumbang kepada osteoporosis.
  • Risiko penyakit jantung meningkat melalui diet rendah karbohidrat dan tinggi dalam pengambilan protein, kolesterol, lemak dan lemak tepu.
BAGAIMANA UNTUK MENGATASI?
Bagaimana untuk mangambil karbohidrat dengan selamat, efektif dan terkawal dalam diet seharian? Beberapa peraturan boleh diamalkan:

Peraturan 1: Masukkan makanan tersebut dalam diet:
  • Buah-buahan: 2-4 hidangan sehari
  • Sayur-sayuran: 3-4 hidangan sehari
  • Produk bijirin penuh seperti roti, mufin, mi, biskut, bijirin penuh dan beras perang: 6-11 hidangan sehari
  • Kekacang : 1-2 hidangan sehari
  • Produk tenusu rendah lemak dan tanpa lemak: 3 hidangan sehari 
Peraturan 2: Hadkan makanan berikut kurang daripada 2 hidangan sehari:
  • Jus buah-buahan
  • Produk tepung putih yang telah melalui proses pemurnian (refined)
  • Nasi putih
  • French fries
  • Sayur goreng
Peraturan 3: Singkirkan makanan tersebut atau makan hanya ketika menghadiri mijlis dan keraian:
  • Pencuci mulut yang manis, biskut yang manis, kek, pie dan gula-gula.
  • Donut dan pastri
  • Kerepek, cola dan minuman berkarbonat


Bagi mereka yang sedang diet tetapi takut untuk mengambil karbohidrat boleh mencuba peraturan-peraturan tersebut. Sejujurnya mendisiplinkan diri dengan mengawal pengambilan makanan sememangnya agak susah. :p

Sumber rujukan: Diet & Nutrition A Guide To Weight Maintenance & Healthy Living with a Malaysian Touch!, terbitan Karangkraf. 








Team Blogger Support Gaza : Kebebasan Hak Milik Setiap Insan


Assalamualaikum w.b.t..

Klik banner untuk join

 Damai Yang Hilang (Nowseeheart)

Tercalar pelangi dihiris gerimis
Senjapun merangkak menutup mentari
Terbias warnanya kewajah
Lagu kedamaian tiada kedengaran
Bumi yang merekah disirami darah
Kemelut melanda tiada kesudahan
Kemusnahan bermaharajalela
Yang lemah menjadi mangsa

Anak-anak kecil mengongcangkan ibunya
Yang lemah longlai tak lagi bernyawa
Jeritan suara batinnya
Tak siapa mendengarnya

Tergadaikah maruah oleh janji-janji?
Terbayarkah dengan nyawa dan darah?
Soalan yang tiada jawapan...

Kemanusiaan telah lama hilang
Kini yang tinggal hanya ketakutan
Musnah kasih sayang dan persaudaraan
Tandus akhlak dan keimanan
Menyemai persengketaan..


******************************

Kembalikanlah damai yang hilang itu kepada mereka
Sesungguhnya mereka juga manusia seperti kita..
Inginkan kebebasan, inginkan hidup yang bahagia..
Namun disebabkan insan yang tidak berperikemanusiaan,
Hidup mereka menjadi huru hara
Terbuang di tanah sendiri..

Bilakah tumpahan darah itu akan berakhir?
Kering menyimbahi bumi yang tandus gersang,
darah-darah insan yang tidak berdosa
Isteri kehilangan suami,
suami kehilangan isteri.
anak-anak kehilangan ibu bapa,
mereka kehilangan keluarga..

Alangkah sedihnya..
Namun mereka kuat
Tepuk dada dan tanya diri;
"bagaimana jika aku yang berada dalam situasi mereka?"
"Mampukah aku sekuat mereka?"

Dikala mereka berjihad mempertahankan yang hak daripada yang batil..
Kita? Ditimpa dugaan yang sedikitpun sudah mula bersungut.
Benar.. mereka semua adalah insan yang kuat..
Semoga mereka sentiasa berada dibawah perlindungan dan rahmatNya..
Untuk mereka para mujahid dan mujahidah
Berbahagialah didalam JannahNya..
Semoga ada peluang untuk kita bersua diSANA nanti..
Ketika waktu itu tiba, nasib kalian tetap akan terbela..
JANJI ALLAH ITU PASTI..

#Kebebasan itu hak milik setiap insan
 #Everyone deserve to be happy
#Everyone deserve to be free
#Pray for Gaza
#SupportGAZA


Friday 1 August 2014

Selamat Hari Pahlawan

Assalamualaikum w.b.t..


Rasanya belum terlewat lagi untuk mengucapkan Selamat Hari Pahlawan walaupun mood raya masih lagi terasa. Hari Pahlawan telah disambut pada 17 Julai 2014 bersamaan 19 Ramadhan yang lalu. Di Malaysia Hari Pahlawan disambut setiap tahun bagi memperingati perajurit-perajurit yang telah banyak berjasa kepada negara. Di harap sambutan seumpama ini dapat menambahkan lagi sikap patriotisme dan cintakan negara dalam diri kita semua bagi menjaga kedaulatan negara kita yang tercinta.

Terima Kasih Pahlawan Malaysia!